Latar belakang Perang_Bosnia

Perpecahan Yugoslavia

Perang di Bosnia dan Herzegovina terjadi ekoran keputusan perpecahan dalam Republik Persekutuan Sosialis Yugoslavia. Satu krisis timbul Yugoslavia sebagai akibat daripada sistem persekutuan yang melemah pada akhir Perang Dingin. Di Yugoslavia, parti komunis kebangsaan, Liga Komunis Yugoslavia, telah kehilangan potensi ideologinya. Sementara itu, semangat nasionalisme mendapat pembaharuan pada tahun 1980-an, selepas keganasan tercetus di Kosovo.[41] Sementara tujuan utama nasionalis Serbia ingin menjadi ia sebagai pusat Yugoslavia, para nasionalis lain di Yugoslavia bercita-cita untuk nyah-pusatkan negeri ini.[42]

Bosnia dan Herzegovina, sebuah bekas wilayah Uthmaniyyah, dari segi sejarahnya adalah negeri berbilang etnik. Berdasarkan bancian pada 1991, 44% daripada jumlah penduduk menganggap mereka adalah Muslim (Bosniak), 32.5% Serb dan 17% Croat, dan 6% mengatakan mereka adalah etnik Yugoslavia.[43]

Pada Mac 1989, krisis di Yugoslavia semakin melarat apabila penerimaan pindaan Pelembagaan Serbia membenarkan kerajaan Serbia untuk menguasai wilayah Kosovo dan Vojvodina.[44] Sebelum itu, Kosovo dan Vojvodina bebas untuk membuat keputusan dan kedua-dua wilayah pemerintahan sendiri ini juga boleh membuat undian di peringkat persekutuan Yugoslavai. Serbia, di bawah presiden yang baru dipilih Slobodan Milošević, berjaya mengawal tiga daripada lapan undi di bawah pengaruh presiden. Dengan tambahan undian daripada Montenegro, Serbia berjaya untuk mempengaruhi keputusan kerajaan persekutuan. Keadaan ini mengundang bantahan daripada republik-republik lain dan meminta agar sebuah pembaharuan dilakukan di Persekutuan Yugoslavia. Pada Kongres Luar Biasa ke-14 parti Liga Komunis Yugoslavia pada 20 Januari 1990, para perwakilan republik tidak mencapai persetujuan akan isu-isu utama yang dihadapi oleh persekutuan Yugoslavia. Akibatnya, perwakilan Slovenia dan Croatia meninggalkan kongres. Perwakilan Slovenia, diketuai oleh Milan Kučan mendesak perubahan demokratik dan persekutuan yang lebih longgar, sementara perwakilan Serbia, yang diketuai oleh Milošević, menentangnya.[petikan diperlukan]

Dalam pilihanraya pelbagai parti yang pertama pada November 1990, di Bosnia dan Herzegovina, pengundian dibuat berdasarkan etnik, membuah kejayaan kepada Parti Tindakan Demokratik Bosniak, Parti Demokratik Serbia dan Kesatuan Demokratik Croatia.[45]

Parti-parti ini membahagikan kuasa berdasarkan etnik yang mana melihat Presiden Republik Sosialis Bosnia dan Herzegovina adalah seorang Bosniak, presiden Parlimen adalah seorang Serb dan Perdana Menteri adalah seorang Croat. Parti nasionalis pemisahan mendapat kuasa di republik-republik lain, termasuk Croatia dan Slovenia.[46]

Permulaan Perang Yugoslavia

Pada bulan Mac 1991, perbincangan di antara Franjo Tuđman dan Slobodan Milošević, yang mana kemudian dikenali sebagai Persetujuan Karađorđevo, dilaporkan memasukan "...pembahagian Bosnia dan Herzegovina antara Serbia dan Croatia."[47] Pada 25 Jun 1991, Slovenia dan Croatia mengistiharkan kemerdekaan, yang mana membawa kepada konflik singkat bersenjata di Slovenia yang dipanggil Perang Sepuluh Hari, dan perang besar di Croatia dalam Perang Kemerdekaan Croatia di kawasan yang mempunyai populasi tinggi etnik Serb. Pada separuh kedua tahun 1991, perang menjadi semakin hebat di Croatia. Tentera Rakyat Yugoslavia (JNA) juga menyerang Croatia dari Bosnia-Herzegovina.[48]

SAO Bosanska Krajina, SAO Herzegovina, SAO Bosnia Timur Laut, dan SAO Romanija merupakan Wilayah Autonomi Serbia yang diistiharkan sendiri dan dibentuk pada pertengahan tahun 1991 di dalam wilayah Bosnia dan Herzegovina. Pada September 1991, Komuniti Ekonomi Eropah menganjurkan satu persidangan dalam cubaan untuk mengelakkan Bosnia dan Herzegovina tercebak ke dalam kancah perang. Ia menghasilkan Persetujuan Lisbon, yang juga dikenali sebagai rancangan Carrington-Cutileiro, dinamakan bersempena nama penciptanya Lord Carrington dan duta Portugal José Cutileiro. Mereka telah mencadangkan perkongsian kuasa etnik dalam kesemua peringkat pentadbiran dan penurunan kuasa kerajaan pusat kepada komuniti tempatan. Rancangan ini membayangkan kesemua daerah Bosnia dan Herzegovina tidak lagi akan dikelaskan sebagai Bosniak, Serb atau Croat, di mana tiada mana-mana etnik akan menjadi penduduk majoriti.[petikan diperlukan]

Pada 25 September 1991, Majlis Keselamatan PBB telah meluluskan Resolusi 713, yang mengenakan embargo senjata kepada bekas wilayah Yugoslavia. Tindakan embargo ini sangat menjejaskan Tentera Darat Republik Bosnia dan Herzegovina kerana Republik Serbia mewarisi sebahagian besar bekalan persenjataan Tentera Rakyat Yugoslavia manakala Tentera Croatia boleh menyeludup senjata melalui pantainya. Lebih 55% senjata dan berek di bekas Yugoslavia terletak di Bosnia, disebabkan kelebihnya kawasan pergunungannya sekiranya Yugoslavia diserang dan berlakunya peperangan gerila. Akan tetapi, kebanyakan kemudahan dan kilang (seperti kilang UNIS PRETIS di Vogošća) berada di bawah kawalan Serb, manakala yang lain tidak dapat digunakan di sebabkan kekangan kuasa elektrik dan bahan mentah.[petikan diperlukan]

Pada 19 September 1991, JNA telah menggerakkan tentera tambahan ke kawasan di sekeliling bandar Mostar, yang mana telah dibantah secara terbuka oleh kerajaan tempatan. Pada 20 September 1991, JNA mengalihkan tentera ke perbatasan di Vukovar melalui wilayah Višegrad yang mana terletak di timur laut Bosnia. Dalam tindak balas, penduduk Croat dan Bosniak tempatan telah mendirikan pos-pos sekatan dan mesingan. Mereka menghentikan sepasukan 60 buah kereta kebal milik JNA tetapi berjaya ditumpaskan pada hari berikutnya. Lebih daripada 1,000 penduduk melarikan diri daripada kawasan ini. Kejadian ini berlaku hampir tujuh bulan sebelum Perang Bosnia bermula, menandakan korban pertama dalam Perang Yugoslavia di Bosnia.[49]

Lima hari kemudian, tentera JNA telah menyerang sebuah kampung Croat di Ravno yang terletak di timur Herzegovina dalam perjalanan mereka untuk menyerang Dubrovnik, dan dalam hari-hari pertama dalam bulan Oktober berjaya meratakan kampung ini, membunuh lapan orang awam dari etnik Croat. Objektif-objektif para nationalis di Croatia kemudian dikongsi oleh para nasionalis Croat di Bosnia dan Herzegovina.[50] Parti memerintah di Republik Croatia, Kesatuan Demokratik Croatia (HDZ), mengatur dan mengawal cabang parti di Bosnia dan Herzegovina. Menjelang akhir tahun 1991, unsur-unsur ekstremis dalam parti, di bawah kepemimpinan Mate Boban, Dario Kordić, Jadranko Prlić, Ignac Koštroman, selain pemimpin tempatan seperti Anto Valenta,[50] dan dengan sokongan Franjo Tuđman dan Gojko Šušak, telah berjaya menguasai parti. Ia seiring dengan kemuncak Perang Kemerdekaan Croatia. Pada 6 Oktober 1991, Presiden Bosnia Alija Izetbegović membuat pengistiharan tidak memihak di televisyen yang berbunyi:

Ingat, ini bukan perang kita. Biarkan mereka yang mahukannya mendapatnya. Kita tidak mahu perang itu.[51]

Pembunuhan beramai-ramai berlanjutan, dan untuk beberapa hari seterusnya JNA meratakan 21 buah lagi kampung etnik Croat di timur Herzegovina.[48] Pada 13 Oktober 1991, pemimpin Serb Bosnia Radovan Karadžić menyatakan pandangan beliau berkenaan masa depan Bosnia dan Muslim Bosnia: "Dalam masa beberapa hari, Sarajevo akan musnah dan lima ratus ribu orang mati, dalam masa satu bulan Muslim akan dihapuskan di Bosnia dan Herzegovina".[52]

Pada masa yang sama, Presiden Alija Izetbegović membuat kenyataan berikut di hadapatan parlimen Bosnia pada 14 Oktober berkenaan dengan JNA:

Jangan menentang Tentera Darat. (…) kehadiran Mereka merupakan faktor penstabilan kepada kita, dan kita memerlukan Mereka (…). Sehingga sekarang kita tidak menghadapi masalah dengan Mereka, dan kita tidak akan menghadapi masalah pada kemudian hari.[53]

Krisis politik terakhir

Pada 15 Oktober 1991, parlimen Republik Sosialis Bosnia dan Herzegovina di Sarajevo telah meluluskan sebuah "Memorandum berkenaan Kedaulatan Bosnia-Herzegovina" dengan mendapat majoriti mudah.[54][55] Memorandum ini telah ditentang kuat oleh anggota parlimen Serb Bosnia, yang berhujah bahawa Pindaan LXX dalam Perlembagaan perlu mendapatkan sokongan 2/3 majoriti. Meskipun begitu, memorandum ini tetap dibentangkan, yang mana diboikot oleh anggota parlimen Serb Bosnia, dan semasa diboikot undang-undang ini diluluskan.[56]

Para anggota parlimen Serb, yang majoritinya terdiri daripada anggota Parti Demokratik Serb (SDS), termasuk beberapa para perwakilan parti lain (yang mana akan membentuk "Kaukus Anggota Parlimen Bebas"), meninggalkan parlimen pusat di Sarajevo, dan menubuhkan Perhimpunan Rakyat Serb di Bosnia dan Herzegovina pada 24 Oktober 1991, menandakan penamat bagi persekutuan tiga etnik yang memerintah selepas pilihanraya pada tahun 1990.[57]

Pada 18 November 1991, Kesatuan Demokratik Croatia di Bosnia dan Herzegovina mengasaskan Komuniti Croat di Herzeg-Bosnia, dan dokumen penubuhannya berbunyi: "Komuniti akan menghormati kerajaan yang dipilih secara demokratik Republik Bosnia-Herzegovina selagi Bosnia-Herzegovina kekal menjadi negara merdeka dalam konteks bekas atau masa depan Yugoslavia." Herzeg-Bosnia bukan hanya merupakan satu-satunya komuniti Croat dalam wilayah Bosnia dan Herzegovina. Komuniti Croatia di Bosanska Posavina telah ditubuhkan untuk "menyatukan semua aktiviti-aktiviti parti dalam mempertahankan Bosnia dan Herzegovina dan bagi menguatkan penduduk Croatia di dalamnnya".[58]

Pada 7 Januari 1992, para anggota Serb dari Dewan Perbandaran Prijedor dan para presiden Lembaga Perbandaran SDS tempatan mengistiharkan Perhimpunan Rakyat Serbia dalam Perbandaran Prijedor dan melaksanakan arahan-arahan rahsia yang dikeluarkan sebelumnya pada 19 Disember 1991. Organisation and Activity of Organs of the Serbian People in Bosnia and Herzegovina in Extraordinary Circumstances menyediakan sebuah rancangan untuk SDS mengambil alih perbandaran-perbandaran di BiH dan juga rancangan untuk penubuhan Staf Krisis.[59] Milomir Stakić, kemudian didapati bersalah oleh ICTY kerana jenayah menentang kemanusiaan ke atas penduduk awam Bosniak dan Croat, telah dipilih sebagai Presiden perhimpunan ini.[60]

Pada 9 Januari 1992, Perhimpunan Rakyat Serb di Bosnia dan Herzegovina menerima sebuah deklarasi pengistiharan Republik Serbia di Bosnia dan Herzegovina ("SR BiH", kemudian Republika Srpska).[61] Suruhanjaya Arbitrasi untuk Persidangan Damai di Yugoslavia pada 11 Januari 1992 Pendapat No. 4 di Bosnia dan Herzegovina menyatakan bahawa kemerdekaan Bosnia dan Herzegovina tidak sepatutnya diiktiraf kerana negara ini belum lagi membuat sebuah referendum kemerdekaan.[62]

Pada 17 Januari 1992, Perhimpunan Serb Prijedor mengesahkan menyertai wilayah-wilayah Serb dalam Perbandaran Prijedor untuk membentuk Kawasan Autonomi Krajina Bosnia dalam usaha untuk menubuhkan sebuah negara Serb berasingan dalam wilayah etnik Serb.[60]

Pada 25 Januari 1992, sejam selepas sesi parlimen ditangguhkan, parlimen meminta agar sebuah referendum kemerdekaan dibuat pada 29 Februari dan 1 Mac.[54] Perang Kemerdekaan Croatia menghasilkan Resolusi 743 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu pada 21 Februari 1992, yang mana membentuk Pasukan Perlindungan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNPROFOR) berdasarkan laporan Setiausaha Agong PBB bernombor S/23592 bertarikh pada 15 Februari 1992. Pada 28 Februari 1992, Perlembagaan SR BiH mengistiharkan bahawa wilayah Republik termasuk "wilayah Kawasan dan Daerah Autonomi Serb dan entiti-entiti etnik Serb lain di Bosnia dan Herzegovina, termasuk kawasan di mana etnik Serb menjadi minoriti di sebabkan genosid yang dilakukan pada Perang Dunia II", dan ia diistiharkan sebagai sebahagian daripada Yugoslavia.[59]

Para anggota perhimpunan Serb Bosnia menasihati etnik Serb untuk memboikot referendum yang dilakukan pada 29 Februari dan 1 Mac 1992. Kehadiran semasa pungutan suara ini dilaporkan adalah 63.7%, dengan 92.7% mengundi untuk kemerdekaan (yang mana membayangkan Serb Bosnia, yang merangkumi sekitar 34% dari jumlah penduduk, telah memboikot referendum).[63] Kepimpinan politik Serb menggunakan referendum ini sebagai penyebab untuk membuat bantahan sekatan jalan. Kemerdekaan secara rasminya diistiharkan oleh parlimen Bosnia pada 3 Mac 1992.[64][65]

Pada 18 Mac 1992, kesemua tiga pihak menandatangani Persetujuan Lisbon: Alija Izetbegović untuk Bosniak, Radovan Karadžić untuk Serb dan Mate Boban untuk Croat. Bagaimanapun, pada 28 Mac 1992, Izetbegović, selepas bermesyuarat dengan duta Amerika Syarikat ke Yugoslavia Warren Zimmermann di Sarajevo, menarik balik tandatangan beliau dan mengistiharkan tentangan beliau ke atas sebarang jenis pembahagian etnik di Bosnia.

Apa yang dikatakan dan oleh siapa tidak jelas. Zimmerman menafikan bahawa beliau telah memberitahu Izetbegovic bahawa jika beliau menarik balik tandatangan beliau, Amerika Syarikat akan memberi pengiktirafan kepada Bosnia sebagai sebuah negara merdeka. Apa yang tidak dipertikaikan adalah bahawa Izetbegovic, pada hari yang sama, menarik balik tandatangan beliau dan menolak persetujuan.[66]

Pada akhir Mac 1992, pertempuran antara tentera etnik Serb dan pakatan Bosniak-Croat di dan berhampiran Bosanski Brod,[67] mengakibatkan kematian penduduk kampung Serb di Sijekovac.[68] Pasukan para-tentera Serb melakukan pembunuhan beramai-ramai Bijeljina, dengan kebanyakan mangsa adalah etnik Bosniak, pada 1–2 April 1992.[69]

Rujukan

WikiPedia: Perang_Bosnia http://www.cobiss.ba/scripts/cobiss?ukaz=DISP&id=2... http://www.cobiss.ba/scripts/cobiss?ukaz=DISP&id=2... http://www.gfbv.ba/index.php?id=126 http://www.idc.org.ba/aboutus/Overview_of_jobs_acc... http://www.prometej.ba/clanak/drustvo-i-znanost/sp... http://www.cbc.ca/news/world/story/2012/04/05/f-bo... http://www.cbc.ca/world/story/2010/04/14/croatia-b... http://pi.library.yorku.ca/ojs/index.php/refuge/ar... http://www.unhchr.ch/tbs/doc.nsf/(Symbol)/33337863... http://www.amazon.com/My-War-Gone-By-Miss/dp/01402...